Perasmian Rumah Ronald McDonald Ke-2 Di Hospital USM Kubang Kerian | Rumah Penginapan Sementara Dekatkan Keluarga Pesakit Pediatrik dan Ringankan Bebanan Keluarga Pesakit Kanak-kanak Di Kelantan

Ogos 29, 2019
Seperti yang telah diketahui umum, Rumah Ronald McDonald yang  ke-2 di Hospital Universiti Sains  Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian telah dibuka dan telah pun menerima kedatangan tetamu pertamanya pada bulan Jun yang lalu. Memandangkan semasa pembukaannya hari itu tidak dapat ikut serta, jemputan sempena perasmiannya ini umpama peluang ke-2 untuk membolehkan ku melihat dan meninjau sendiri rumah penginapan sementara yang menelan belanja hampir RM 4 juta hasil sumbangan pelbagai pihak melalui tabung RMHC Malaysia yang terdapat di semua restoran McDonald's diseluruh negara, syarikat-syarikat korporat, para pekerja dan juga para francais McDonald's itu sendiri.



Perasmian Rumah Ronald McDonald Ke-2 Di Hospital USM Kubang Kerian | Rumah Penginapan Sementara Dekatkan Keluarga Pesakit Pediatrik dan Ringankan Bebanan Keluarga Pesakit Kanak-kanak Di Kelantan

Cukup selesa dan mengujakan !!! Itulah yang ku rasakan apabila melangkah masuk untuk melihat sendiri rumah penginapan sementara, Rumah Ronald McDonald ini. Terletak diperkarangan Hospital USM Kubang Kerian, ianya dilengkapi dengan 18 buah bilik yang boleh menempatkan 18 keluarga dalam satu-satu masa. 72 katil, ada ruang untuk istirehat, tempat makan, bilik dobi, bilik permainan, dapur serta kemudahan bilik sensori yang lengkap dengan peralatan multi deria khas untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa. Ciktie pula yang teruja dengan bilik sensori ini.


Rumah Ronald McDonald's atau Ronald McDonald House (RMH) ini merupakan rumah ke-2 seumpamanya di Malaysia selepas di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM-UKM), Kuala Lumpur dibawah program utama RMHC di seluruh dunia. Ia bertujuan untuk menyediakan kemudahan penginapan berkelengkapan penuh kepada ahli keluarga pesakit Pediatrik dengan bayaran yang amat berpatutan iaitu sebanyak RM 5 semalaman sepanjang mereka menerima rawatan di Hospital USM atau berdekatan. Ia sekali gus dapat meringankan bebanan kewangan keluarga pesakit berpendapatan rendah yang datang dari kawasan luar bandar dan negeri-negeri lain.

Ini juga selaras dengan misi RMHC itu sendiri untuk memastikan keluarga sentiasa dekat bersama (keeping families close) untuk membantu menyuntikkan semangat mempercepatkan proses penyembuhan pesakit pediatrik.

"Sokongan ahli keluarga sama ada fizikal atau emosi merupakan faktor penting bagi menggalakkan pemulihan kesihatan pesakit pesakit Pediatrik. Dengan adanya keluarga berada dekat dengan mereka dalam kawasan hospital pesakit kanak-kanak ini akan lebih bersemangat dan gembira. Secara tidak langsung kesan positif boleh dilihat sepanjang proses pemulihan."
Azmi Jaaffar, Presiden RMHC Malaysia



Sementara Dato' Mohd Amar, Timbalan Menteri Besar Kelantan pula meluahkan rasa gembira dan berharap kemudahan ianya ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang datang ke Hospital USM atau hospital-hospital lain di Kota Bharu.

" Kerajaan Negeri Kelantan amat gembira melihat inisiatif sebegini yang dilaksanakan oleh RMHC Malaysia. Konsep rumah penginapan sementara seperti ini amat unik kerana ia membolehkan keluarga pesakit yang datang dari jauh untuk berada dekat dengan anak-anak mereka ketika menjalani sesi rawatan yang berpanjangan. Sudah pasti rumah ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang datang ke Hospital USM atau hospital-hospital lain di bandar Kota Bahru ini.

Rumah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Kelantan yang kebanyakannya mendapatkan rawatan di sini, ia juga akan meringankan beban majoriti besar yang mengunjungi Hospital USM kerana mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang datang dari kawasan luar bandar dan negeri-negeri lain. "

Seiring dengan pengiktirafan USM sendiri sebagai Universiti Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX), ia telah memacu Hospital USM ke hadapan dengan kedudukannya sebagai hospital rujukan utama dan hub kesihatan komuniti di Pantai Timur melalui APEX fasa kedua (bermula tahun 2014 hingga tahun 2025). 

Kewujudan Rumah Ronald McDonald di Kelantan ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan Hospital USM sebagai sebuah hospital yang cakna kepada keperluan pesakit dan waris mereka, khususnya di Pantai Timur.










Dan antara program lain yang terdapat di Hospital USM yang mendapat bantuan kewangan penuh RMHC termasuklah Gift of Smiles untuk membantu kanak-kanak yang dilahirkan dengan sumbing bibir dan lelangit menjalankan pembedahan pembetulan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan ataupun ingin menjadi sukarelawan RMHC Malaysia bolehlah menghubungi Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM-UKM), Kuala Lumpur ditalian 03-7843 3388



Syarat dan cara memohon mendiami Rumah Ronald McDonald's

  • Terbuka kepada keluarga pesakit pediatrik sahaja. Berumur 18 tahun ke bawah.
  • Pesakit tinggal atau menetap di luar kawasan kota Bharu.
  • Borang permohonan boleh diperolehi dan dikemukakan semula ke Bahagian Kebajikan HUSM.
  • Setelah permohonan diluluskan oleh pihak HUSM barulah keluarga pesakit layak mendiami Rumah Ronald McDonald dengan bayaran RM5 sehari.


Share this :

Previous
Next Post »

4 ulasan

  1. Wahh, bagusnya. Bayaran murah, lengkap semuanya. Menarik :)

    BalasPadam
  2. Bagus cara McD menyalurkan pendapatan mereka dengan membina rumah2 perlindungan begini..
    Syarikat lain wajar jadikan contoh..

    BalasPadam
  3. Jemput join segmen sy ya
    https://ciknurul23.blogspot.com/2019/09/segmen-bloglist-sii-nurul.html?m=1

    BalasPadam
  4. Syabas Dan tahniah usaha yg bagus

    BalasPadam

.Assalamualaikum.
.Sila Tinggalkan Comment Anda Di Sini.
SATU pun jadi lah ! hehe.

My Ping in TotalPing.com